Bila tiba bulan ramadhan, hati semakin menggamit-gamit untuk solat tarawikh berjemaah di masjid. Tapi apakan daya, saya ada 2 orang anak kecil yang belum mumaiyiz (membezakan baik dan buruk) dan dibimbangi akan membuat bising di masjid dan mengganggu Jemaah lain.
Saya juga berazam untuk membawa kedua puteri saya ini ke masjid, bermula bulan Ramadhan ini dan insyaallah akan menjadi amalan pada bulan-bulan lain.
Pernah sekali saya bawa mereka ke masjid berhampiran rumah saya, si kakak yang berumur 4 tahun boleh duduk diam. Cuma si adik yang baru 2 tahun yang agak agresif berbaring di tempat sujud saya sehingga saya terpaksa bergerak sedikit untuk sujud. Alhamdulillah, Cuma mengganggu saya saja dan masih tidak mengganggu Jemaah lain.
Oleh itu, saya kongsikan di sini beberapa tips yang saya dapat hasil perkongsian bersama ibu-ibu lain :
1. PILIH MASJID YANG MESRA KANAK-KANAK
Ada masjid yang menyediakan kemudahan nurseri untuk ibu-ibu yang mempunyai anak kecil untuk solat berjemaah di masjid. Jika di Selangor contohnya seperti Masjid negeri Shah Alam, Masjid Wilayah dan Masjid Bukit Jelutong.
Jika di kawasan anda tiada masjid seperti itu, anda juga boleh bawa anak-anak ke masjid yang mempunyai ruang solat agak lapang dan selesa. jika masjid besar dan luas, bunyi bising anak-anak juga dapat dikurangkan.
2. PILIH MASJID YANG KURANG JEMAAH
Ada masjid yang jumlah Jemaah nya tidak berapa ramai, jadi lebih mudah bawa anak ke sini. Kadangkala, fenomena ini juga berlaku bila tiba di pertengahan atau hujung Ramadhan. Ini memang masa terbaik untuk bawa mereka
3. SOLAT DI SOF PALING HUJUNG & BELAKANG
Saya rasa kebanyakan ibu memang biasa ambil port ni. Kita lebih selesa solat dan anak duduk di sebelah kita.
Lebih-lebih lagi bila beranak kecil ini memerlukan kita kerap ke tandas untuk menukar lampin dan sebagainya. Jadi, masjid yang mempunyai ruang solat yang hampir dengan tandas juga dapat membantu.
4. BAWA BUKU AKTIVITI UNTUK ANAK-ANAK
Kanak-kanak akan cepat bosan bila mereka duduk diam terlalu lama. Untuk elakkan anak mengganggu Jemaah lain, anda boleh cuba memberikan buku-buku atau mainan yang rasional untuk dibawa ke masjid.
Pernah dengar busy bag? Busy bag ni antara cara nak buat anak saya fokus (walaupun tak lama, tapi ternyata membantu). Anda boleh buat carian di google bagaimana nak membuat busy bag.
5. MULAKAN DARI AWAL
Kebanyakan kenalan saya membawa anak mereka ke masjid ketika anak masih bayi, dalam lingkungan umur 1 tahun dan ke atas. Hasilnya, anak mereka tiada masalah jika dibawa ke masjid kerana telah dibiasakan dengan suasana di masjid.
Ada juga ibu yang menyarankan agar membawa anak-anak ke masjid sebelum Ramadhan lagi, ketika masjid tidak penuh dengan Jemaah supaya kita dapat train anak dari awal
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk ibu-ibu. Jom pupuk anak cintakan masjid
kredit to: http://junioraulad.com/news/tips-bawa-anak-ke-masjid-solat-terawih
No comments:
Post a Comment